[VIDEO] Cabaran kumpul kekayaan tahun 2020

Tahun 2020 menjadi satu lagi tahun mencabar bagi kebanyakan kita dalam mengumpulkan kekayaan. - Getty Images
Tahun 2020 menjadi satu lagi tahun mencabar bagi kebanyakan kita dalam mengumpulkan kekayaan. - Getty Images
A
A
A

SEJAK tahun 2009 ketika dunia berdepan dengan krisis kewangan global, jumlah harta kekayaan individu terkaya di dunia terus berkurangan.

Memasuki tahun 2020, berdasarkan laporan Forbes Billionaires 2019 yang dikeluarkan pada bulan Mac tahun lalu memaparkan bukti bahawa jumlah kekayaan mereka menyusut berbanding tahun sebelumnya.

Ini membuktikan bahawa individu terkaya di dunia juga terkesan dan tidak kebal ketika berdepan dengan kekuatan ekonomi dan pasaran saham yang lemah setiap tahun.

Berdasarkan laporan berkenaan, hanya terdapat 2,153 bilionair iaitu kurang 55 individu berbanding tahun 2018 dan daripada jumlah itu seramai 994 individu mengumpul hasil yang kurang jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Ada juga sebahagian daripada senarai yang dikeluarkan menunjukkan bahawa 11 peratus atau 247 individu jatuh pada kedudukan rendah kesan krisis kewangan global.

Di Malaysia, Forbes menyenaraikan nama 14 rakyat Malaysia terkaya dengan Raja Gula yang juga Pengasas Shangri-La Hotels, Tan Sri Robert Kuok mendahului kutipan nilai kekayaan tertinggi iaitu sebanyak RM52 bilion bagi mengungguli kedudukan 104 di dunia.

Penyertaan dalam industri IR4.0 adalah jalan baharu untuk golongan muda merebut peluang menjadi jutawan. - Foto 123RF
Penyertaan dalam industri IR4.0 adalah jalan baharu untuk golongan muda merebut peluang menjadi jutawan. - Foto 123RF

Pada tahun sebelumnya, di kedudukan yang sama, beliau yang juga pemilik Kuok Group dan bergiat aktif dalam perniagaan utama dalam sektor minyak sawit, perkapalan dan hartanah mengumpul harta berjumlah RM57.7 bilion. Jumlah itu berkurangan berbanding tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya di sini, mampukah 14 individu terkaya di Malaysia menambah hasil kekayaan pada saat Malaysia sedang berdepan dengan kelembapan ekonomi dan pasaran saham yang lemah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini menjelaskan pembangunan ekonomi Malaysia dijangka meningkat selewat-lewatnya menjelang Jun tahun ini.

Malah beliau kekal optimis walaupun kalangan ahli ekonomi dan Bank Dunia telah bertindak menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus pada tahun ini berbanding unjuran awal pada 4.6 peratus.

Tegasnya, ekonomi Malaysia juga dijangka rancak dan mendapat rangsangan sekiranya perang perdagangan Washington-Beijing dapat diselesaikan.

Ini sejajar status negara sebagai ekonomi pengeksport dan sebarang penyelesaian perbalahan perdagangan membabitkan dua kuasa besar ekonomi itu mampu memberi manfaat kepada Malaysia.

Biarpun begitu, individu terkaya negara dan pemain industri lain mungkin bakal berdepan dengan lebih cabaran pada tahun ini.

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, cabaran yang bakal dihadapi oleh individu terkaya di Malaysia pada tahun ini adalah pelbagai tetapi antara cabaran utama ialah nilai saham yang tidak menentu terutamanya yang didagangkan di Bursa Malaysia yang mencatatkan kemerosotan enam peratus pada tahun 2019.

Jelasnya, jika saham terus merudum pada tahun 2020, maka kekayaan individu-individu ini akan makin merosot pada tahun ini.

“Nilai saham yang merosot disebabkan beberapa punca. Faktor yang sukar dikawal seperti sentimen pelabur asing yang membuat keputusan untuk menjual saham tempatan boleh menyebabkan nilai saham jatuh teruk.

“Selain itu faktor syarikat juga memainkan peranan. Jika syarikat didapati terkesan atau terjejas oleh polisi atau dasar tertentu kerajaan, nilai saham syarikat itu juga akan terjejas. Selain itu, jika sesuatu industri dijangka akan mengalami pertumbuhan perlahan, saham syarikat di dalam industri itu juga akan terjejas,” katanya.

Faktor kelemahan ekonomi sememangnya akan menyebabkan pasaran saham yang lemah lantas menyumbang kepada kekurangan pendapatan golongan terkaya di Malaysia.

Sebagai contoh, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka hanya akan meningkat sekitar satu hingga dua peratus sahaja pada tahun ini di samping jangkaan 4.5 peratus pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini.

Ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi sentimen pasaran saham yang boleh menyebabkan pelabur beralih arah ke bon atau simpanan deposit tetap yang menjamin pulangan pelaburan, sekali gus menyebabkan kurangnya permintaan terhadap saham-saham yang diniagakan.

Ahmed Razman
Ahmed Razman

Biarpun begitu Ahmed Razman berpendapat bahawa negara mampu untuk menambah bilangan bilionair di peringkat dunia meskipun berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Namun beliau menegaskan, ia bukan sesuatu keutamaan bagi negara kerana apa yang berlaku sekarang ialah jurang pendapatan dan jurang kekayaan semakin melebar bukan sahaja antara kaum tetapi antara golongan yang duduk di luar bandar dan di bandar.

“Kita tidak mahu hanya berbangga dengan beberapa bilionair yang kita ada tetapi majoriti rakyat kita masih hidup kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Jutawan pada usia muda

Tidak hanya memfokuskan kepada perniagaan yang bersifat konvensional semata-mata, industri baharu yang melibatkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) boleh memberi peluang yang lebih besar kepada pemain industri baharu dalam Malaysia terutamanya melibatkan golongan yang lebih muda.

Sebagai contoh, pemilik kosmetik Kylie Jenner menempatkan diri dalam senarai individu terkaya di dunia pada usia 21 tahun.

Jika ini dijadikan sebagai ukuran, tidak mustahil anak muda dapat menempatkan nama dalam antara individu yang terkaya di Malaysia.

Menyokong pandangan itu, Ahmed Razman berkata, anak muda yang menubuhkan syarikat Aerodyne, salah satu tiga syarikat drone terbesar di dunia juga adalah salah satu lagi contoh bagaimana pemain industri muda mampu menempah kejayaan dan meraih kekayaan jika diberi peluang dan mampu memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik mungkin.

“Industri yang harus diberi penekanan atau diceburi oleh rakyat Malaysia untuk menjamin pendapatan yang memberikan pulangan yang tinggi ialah industri yang melibatkan IR4.0 seperti analitik data, kepintaran buatan (AI), teknologi hibrid, pengaturcaraan dan rekabentuk program.

“Oleh itu amat penting bagi kerajaan meneruskan usaha pembangunan modal insan untuk menambahkan pekerja berkemahiran tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Selain itu kita juga mengharapkan pemain industri muda ini akan sentiasa mengembangkan perniagaan mereka supaya lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat berkecimpung dalam industri ini,” katanya.

Menyokong pandangan sama, Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma berkata, sekiranya golongan muda mahu meningkatkan pendapatan ekonomi, mereka perlu melibatkan diri dalam industri IR4.0 yang kian berkembang pesat di seluruh dunia.

Katanya, bagi merealisasikannya, golongan muda perlu berani, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk daya saing.

Madeline Berma
Madeline Berma

“Golongan muda mampu meningkatkan ekonomi dengan menceburi dalam industri IR4.0. Industri ini melibatkan peralihan kepada teknologi komputer dan pengautomatan.

“Ia memerlukan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk daya saing. Bermakna, golongan muda yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi akan dapat memanfaatkan industri ini,” katanya.

Beliau menambah, industri IR4.0 merupakan model baharu yang melibatkan strategi dan pelaburan organisasi dalam simulasi dan realiti maya, integrasi sistem, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, rantaian bekalan, analisis data raya dan robot automasi.

Justeru katanya, ia membuka banyak peluang dan meningkatkan keupayaan golongan muda menjana pendapatan seperti e-commerce, perniagaan atas talian, automasi, kaedah pembuatan pintar dan analitis data raya.

“Golongan muda juga dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos melalui rantaian nilai global pada masa sebenar dan mempercepat inovasi.

“Cabaran utama bagi golongan muda ialah kesanggupan dan keupayaan mereka untuk siap siaga diri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan oleh industri IR4.0,” katanya.